Hari Pekerja Tahun 2020 ini akan disambut dengan cara yang amat berbeza sekali berbanding tahun-tahun yang lepas. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia akibat penularan wabak Covid19 telah menyebabkan perubahan besar dalam lanskap industri pekerjaan di negara kita.

Bagi MICROCORP Sdn Bhd (MSB), situasi PKP ini telah memberikan cabaran baru bagi pihak pengurusan dan kakitangan kami dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada tugas dan amanah yang telah diberikan. Namun begitu, penggunaan teknologi terkini seperti aplikasi ZOOM, Microsoft Teams dan sebagainya telah digunakan dengan sebaik mungkin dalam menjalankan aktiviti kerja seharian walaupun BEKERJA DARI RUMAH.

Pekerja merupakan aset penting dan terbesar kepada syarikat. Mereka perlu dilatih, ditambah nilai dan sentiasa dibangunkan agar nilai kualiti kerja dan berdaya saing mereka. Namun, setiap titik peluh mereka bukan dinilai dengan wang ringgit per jam semata-mata tetapi pekerja harus dipandang dari pelbagai sudut; kebajikan, emosi, impian dan potensinya.

Sebagai pekerja, sudah pasti mereka ingin dihargai majikan. Pun begitu, orang yang paling awal menghargai mereka adalah diri mereka sendiri. Lihat ke dalam diri, bangunkan diri sendiri. Lengkapkan diri dengan segala set kemahiran dan ilmu pengetahuan yang mampu melonjakkan keupayaan diri.

Saya dan pihak pengurusan MSB sentiasa memberikan bimbingan serta tunjuk ajar kepada setiap kakitangan untuk menambah nilai kualiti diri mereka. Prestasi kerja amat berkait rapat dengan potensi dalam diri. Tingkatkan kualiti diri, lonjakkan produktiviti kerja serta terapkan budaya percaya – mempercayai, jujur dan amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan kerana tiada siapa yang melihat kita buat kerja melainkan diri sendiri dan Yang Maha ESA.

Sifat tanggungjawab, berdikari dan menerapkan sikap “job security” terhadap pekerjaan amat penting di zaman ekonomi yang tidak menentu ini. Berprestasilah! Semoga rezeki yang dibawa pulang buat cicipan keluarga, sentiasa cukup sifatnya dan berganda-ganda berkatnya buat kehidupan bahagia.

SELAMAT HARI PEKERJA 2020!